Sunday, May 29, 2011

Matahari di Atas Ka`bah Pada 28/5/2011, InsyaALLAH



Arah Qiblat boleh disemak dengan tepat ketika Istiwa A'zam. Penentuan arah qiblat yang tepat sangat penting kerana ia merupakan antara syarat sah solat samada solat fardhu atau sunnat. Jadi ummat ISLAM mesti memastikan kedudukan arah qiblatnya tepat mengadap Ka'bah.

Alhamdulillah, setiap tahun ada 2 waktu yang telah ALLAH subhanahu wata'ala tentukan kedudukan matahari betul-betul tepat di atas Ka'bah. Fenomena ini dipanggil Istiwa A'zam (Istiwa Utama).

Alhamdulillah, dengan ketentuan ALLAH 'Azza wa Jalla ini, membolehkan ummat ISLAM di seluruh muka bumi sejak dahulu hingga hari kiamat memeriksa dan menyemak arah qiblat dengan mudah dan tepat. SubhanALLAH…

*

Bilakah Istiwa A'zam berlaku?
Di Malaysia, waktu berlakunya fenomena ini ialah pada:
  • 28 MEI setiap tahun, tepat pukul 5.16 petang, dan
  • 16 JULAI setiap tahun, tepat pukul 5.28 petang.
*

Apa yang perlu dilakukan untuk menyemak qiblat dengan tepat?

Sebelum
  • Pastikan jam yang selalu dibuat rujukan oleh tuan/puan mengikuti waktu piawai yang tepat. Untuk menentukan ketepatan waktu, tuan/puan boleh memeriksanya dengan SIRIM atau boleh juga merujuk kepada waktu yang terpapar di televisyen atau radio. Ketepatan waktu yang mengikut piawai adalah penting untuk mendapat hasil yang betul. Justeru, betulkan jam tuan/puan mengikut waktu piawai yang betul.
  • Cari objek lurus yang keras seperti batang kayu, tiang atau pen.
  • Pacakkan objek tersebut secara menegak (bersudut 90°) di atas permukaan yang rata.
  • Pastikan bayang-bayang yang terhasil dari objek tersebut jelas boleh dilihat dengan terang dan jelas.
  • Dan pastikan juga tuan/puan boleh melihat matahari dari kedudukan tempat tuan/puan pacakkan objek lurus tersebut dan tidak terlindung.
  • Tunggu dengan sabar waktu yang disebutkan di atas.
Ketika peristiwa ini berlaku:
  • Perhatikan bayang-bayang yang terhasil dari objek lurus yang dipacakkan tersebut.
  • Arah qiblat adalah arah yang bertentangan dengan jatuhnya bayang-bayang itu. (Rujuk gambar di atas)
  • Tandakan arah qiblat.
Selepas.
  • Yakinlah bahawa itu merupakan arah qiblat yang tepat.
  • Bersyukurlah kepada ALLAH subhanahu wata'ala yang telah memberikan peluang untuk tuan/puan memeriksa arah qiblat melalui kaedah ini.
  • Hadapkanlah tubuh tuan/puan ke arah qiblat tersebut dengan penuh khusyuk ketika solat fardhu dan sunnat.

Mudah-mudahan perkongsian ini bisa memberikan manfaat buat tuan/puan yang mahu mengambil manfaat. Sebarkan, insyaALLAH…

Tuan/puan juga boleh mengambil manfaat dari website Falak Online berkenaan hal di atas

WAllahu Ta'ala A'lam.

Saturday, May 28, 2011

Kata-Kata Hikmah Khulafa' Ur Rasyidin

SAIDINA ABU BAKAR RADHIALLAHU ANHU BERKATA: 
Orang yang bakhil itu tidak akan terlepas daripada salah satu daripada 4 sifat yang membinasakan iaitu: 
1. Ia akan mati dan hartanya akan diambil oleh warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau; 
2. hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau; 
3. hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan dipergunakan untuk kejahatan pula atau; 
4. adakalanya harta itu akan dicuri dan dipergunakan secara berfoya-foya pada jalan yang tidak berguna 

SAIDINA UMAR AL-KHATTAB RADHIALLAHU ANHU BERKATA: 
1. Orang yang banyak ketawa itu kurang wibawanya 
2. Orang yang suka menghina orang lain, dia juga akan dihina 
3. Orang yang menyintai akhirat, dunia pasti menyertainya 
4. Barangsiapa menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga 

SAIDINA UTHMAN BIN AFFAN RADHIALLAHU ANHU BERKATA: 
Antara tanda-tanda orang yang bijaksana itu ialah: 
1. Hatinya selalu berniat suci 
2. Lidahnya selalu basah dengan zikrullah 
3. Kedua matanya menangis kerana penyesalan (terhadap dosa) 
4. Segala perkara dihadapaiya dengan sabar dan tabah 
5. Mengutamakan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia. 

SAIDINA ALI KARRAMALLAHU WAJHAH BERKATA:
1. Tiada solat yang sempurna tanpa jiwa yang khusyu' 
2. Tiada puasa yang sempurna tanpa mencegah diri daripada perbuatan yang sia- sia 
3. Tiada kebaikan bagi pembaca al-Qur'an tanpa mengambil pangajaran daripadanya 
4. Tiada kebaikan bagi orang yang berilmu tanpa memiliki sifat wara' 
5. Tiada kebaikan mengambil teman tanpa saling sayang-menyayangi 
6. Nikmat yang paling baik ialah nikmat yang kekal dimiliki 
7. Doa yang paling sempurna ialah doa yang dilandasi keikhlasan 
8. Barangsiapa yang banyak bicara, maka banyak pula salahnya, siapa yang banyak salahnya, maka hilanglah harga dirinya, siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak wara', sedang orang yang tidak wara' itu bererti hatinya mati